Nuffnang Ads

Tuesday, January 25, 2011

:Abang-abang KRU 'mengganas'::

LIMA tahun tidak tampil bersama single baru, tiga 'abang-abang KRU' kembali bersama semangat 2011 dengan mempertaruhkan single terbaru mereka, Ganas.
Penampilan menerusi lagu rancak itu umpama 'pemanas badan' buat 'otai rappers' itu yang dianggotai Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim sempena sambutan ulang tahun ke-20 pembabitan mereka dalam dunia seni.

Lagu dan lirik ciptaan Edry itu cuba menyuntik elemen elektro muzik yang bertenaga demi menepati cita rasa generasi masa kini.
Norman yang juga Pengarah Urusan KRU Studios ketika ditemui berkata, penghasilan single berkenaan sebagai langkah pertama mereka untuk menghasilkan album penuh tidak lama lagi, sekali gus memenuhi permintaan peminat yang sebelum ini sering bertanya mengenai lagu terbaru mereka.

"Kami muncul dengan single terbaru ini bukan untuk mengejar populariti macam artis muda. Penghasilan single ini untuk melengkapkan album penuh kami sempena sambutan 20 tahun pembabitan sebagai anak seni. Saya harap ia akan memuaskan hati peminat setia KRU yang membesar dengan lagu kami.

"Sebelum ini, kami agak keliru untuk tampil dengan genre rancak atau balada. Selepas membuat kajian dan mendapat pandangan daripada petugas kami, lagu rancak menjadi pilihan mereka kerana ia akan memberikan lebih impak.

"Apa yang penting, pemilihan lagu perlulah bagus. Malah kami memikirkan cukup sesuai kembali dengan irama rancak kerana memberi ruang kepada kami untuk melakukan sesuatu yang luar biasa," katanya ketika ditemui selepas menjalani penggambaran klip video MTV, Ganas bertempat di KRU Studios, Cyberjaya, baru-baru ini. Mengulas lanjut mengenai klip video berkonsep ala mafia itu, ia bertumpu kisah samseng dan konflik percintaan. Penggambaran yang berlangsung selama dua hari turut dibantu penggunaan Imej Janaan Komputer (CGI) membabitkan 14 pelakon dengan kos perbelanjaan sekitar RM40,000.

Norman yang bergaya dengan solekan dan kostum yang menarik turut memberitahu, pada mulanya dia berasa agak kekok apabila terpaksa tampil demikian. Begitupun masing-masing cukup profesional dan faham ia penting untuk memberi kesan terhadap visualnya.

"Walaupun lagu agak rancak, kami tidak menari dalam video klip ini. Lagu ini ada kekuatan tersendiri. Susunan muzik mengikut 'trend' muzik semasa. Lagu ini boleh diterjemahkan sebagai cinta ganas. "Lagu yang sudah dimainkan di stesen radio tempatan ini akan dimuatkan dalam album kompilasi, Hitman yang merangkumi 17 lagu ciptaan Edry. Selain lagu Ganas, album ini memuatkan lagu yang pernah bersaing dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) seperti Sedetik Lebih, Jahat, Kebahagiaan Dalam Perpisahan dan Sujud," katanya.

Menurut Norman lagi, sebagai persediaan menyambut ulang tahun KRU pada 19 Mei 2012, pihaknya turut merancang satu konsert besar-besaran selain pelbagai program menarik.
Sementara itu, Yusry sebagai pengarah klip video lagu Ganas memberitahu, penghasilan klip video berkenaan menyelitkan pelbagai elemen bersandarkan jalan cerita dan kekuatan lirik lagu berkenaan.

"Konsep penggambaran klip video ini seperti animasi Jepun dan cerita Korea. Setiap babak yang dipaparkan mempunyai mesej tersendiri. Setiap daripada kami (KRU) mempunyai watak masing-masing. Tidak dinafikan kebanyakan pergerakan akan dibantu CGI. Justeru, saya sendiri belum pasti berapa peratus CGI yang akan digunakan untuk klip video ini," katanya.

Yusry akui dia tidak sedar hampir dua dekad masa berlalu. Dia tidak pernah berfikir untuk terbabit dalam dunia seni sejauh ini. Apa yang penting baginya, setiap tugasan perlu dilakukan dengan penuh fokus.
Bagi Edry pula, dia rasa bangga dengan pencapaian KRU dan ingin terus menyumbang idea yang kreatif.

"Tidak dinafikan, pengaruh irama elektro muzik semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat muzik. Saya percaya irama rancak ini cukup sesuai dengan kami, namun kami tetap kekalkan identiti kemelayuan.

Trio beradik berkenaan bergaya dengan solekan Derina Artistic Team untuk menghidupkan watak samseng menerusi klip video berkenaan. Turut terbabit dalam pembikinan klip video berkenaan, pemenang tempat kedua pertandingan Dewi Remaja 2010, Izara.

Sila layari : KLIK DISINI

No comments:

Post a Comment